Pastikan Kewujudan Parti Islam Dan Gerakan Dakwah

KUALA TERENGGANU : Negara umat Islam sepatutnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan parti Islam dan gerakan dakwah, selain bersedia menghadapi sebarang bentuk kejahatan dan kezaliman, demikian seru delegasi Nepal. Katanya, usaha itu sebagai harapan agar kemudiannya ia akan muncul menjadi parti politik dan gerakan yang menguasai kepentingan umat Islam di serata dunia dan manusia keseluruhannya.

“Macam kami Nepal ini negara tertutup, tidak terbuka kepada dunia luar, negara miskin. Orang Islam sangat minoriti dan alami nasib seperti minoriti Islam di negara lain. Ketinggalan dalam banyak bidang; politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lainnya. Jadi sangat memerlukan bantuan,” ujarnya meluah harapan itu pada Persidangan Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai di sini 21 Mac.

Menurut beliau, fokus awal pembentukan diharap dapat menggerakkan bantuan kepada sesama Muslim serta mengupayakan orang Islam yang mengalami nasib serupa di negara-negara minoriti Islam lainnya. Beliau berkongsi usaha yang digerakkan untuk kepentingan umat Islam di Nepal antaranya peranan mewujudkan silibus pelajaran di sekolah Islam dan terjemahan al-Quran serta buku-buku kefahaman agama.

Malah katanya, mereka kini menggiatkan fokus kepada pengembangan pendidikan Islam dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi. Pun begitu katanya, tetap wujud kebimbangan di pihak kerajaan terhadap penyebaran Islam sehingga meminta institusi-institusi pendidikan ini didaftarkan.

“Gerakan agama Hindu dan Buddha juga aktif dan menjalankan pelbagai kegiatan. Ada juga gerakan agama yang melampau dan menjalankan aktiviti mereka. Tetapi suka saya katakan, prinsip dan wajah Islam ini adalah kekuatan. Islam tetap berjalan dengan baik,” optimisnya.

Maklum beliau, Islam juga mendapat ruang siaran di negara itu walaupun hanya untuk 30 minit sehari. Beliau berharap agar persidangan seumpama itu dapat dianjurkan secara lebih kerap selepas ini.

 

Persidangan

20-22 March 2015
Kuala Ibai, Terengganu Malaysia.

Rangkaian

/ijtimak.antarabangsa

/IjtimaUmmahIUMS

/ijtima_alami3.0

terengganukini

Hubungi

Untuk maklumat lanjut mengenai program boleh hubungi kami di:
 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
  +60199511860
 www.wuoms.org