Tuntutan Membina Kekuatan Dan Pemerintahan

KUALA TERENGGANU : Gerakan Islam perlu berjuang membina kekuatan dalam politik sehingga mendapat kekuasaan pemerintahan agar Islam dapat disampaikan dan hak-hak umat Islam dapat dipertahankan. Delegasi Kemboja berkata, untuk memastikan agar Gerakan Islam mampu mendapat kuasa pemerintahan maka perlulah mempunyai kepandaian berpolitik, antaranya ujar beliau dengan membina gabungan bersama parti-parti yang ada.

Ujarnya, dengan kekuasaan sedemikian akan membolehkan Gerakan Islam berhadapan pelbagai situasi politik dan hambatan ke atas umat Islam yang turut berhadapan tindakan polis atau ketenteraan terutama di negara minoriti umat Islam.

Tekanan seumpama turut dinyatakan delegasi Bangladesh yang memaklumkan betapa Gerakan Islam di negara itu menghadapi kekangan dalam semua aktiviti politiknya. Di mana menurutnya, sudah lebih 20,000 aktivis dan pemimpin mereka yang ditangkap, dipenjara atau dijatuhi hukuman gantung sampai mati, selain melalui pelbagai jenis penderitaan.

“Media langsung tidak memberi liputan berkenaan penindasan terhadap umat Islam. Penyembelihan ke atas umat Islam berlaku kerana Islamophobia. “Kita mesti mendesak bantuan dari badan dunia seperti PBB dan Asean supaya memperjuangkan hak minoriti ini. Kebebasan mereka mesti diperjuangkan. Setidak-tidaknya diberi ruang menyuarakan tuntutan dan persamaan hak.

“Umat Islam tidak harus dihadapkan dengan pelbagai pemisahan dan tidak boleh dikecualikan daripada masyarakat,” luahnya pada Persidangan Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai di sini 21 Mac.

Tegasnya, hak asasi kemanusiaan yang telah dimeterai dunia mesti terpakai juga ke atas umat Islam sekalipun sebagai minoriti kecil rakyat di dalam sesebuah negara. Beliau melahirkan kekesalan terhadap sikap badan-badan dunia berkaitan yang memandang sepi nasib umat Islam, khususnya tindakan kezaliman dan pelanggaran hak kemanusiaan sebagaimana berlaku di Laos, Kemboja, Myanmar, Sri Lanka dan lain-lain negara minoriti Islam.

Tuntutan serupa juga diajukan delegasi Burma yang mendesak agar hak penduduk Islam sepertimana resolusi PBB dilaksanakan. Malangnya ujar beliau, banyak resolusi PBB tidak dipedulikan Kerajaan Burma walaupun jelas berlakunya kezaliman ke atas umat Islam di negara itu hinggakan ramai lari menyelamatkan diri ke serata negara hingga ke Arab Saudi. Malah menurutnya, ramai yang menghuni di kebanyakan kem pelarian tetapi jumlahnya tidak dapat dihitung kerana terdapatnya kem tidak berdaftar.

“Perlu digerakkan usaha dan bantuan, disuarakan tuntutan dan referandum, kita bantu untuk membantu saudara kita di Rohingya, di Arakan dan di lain-lain tempat, agar mereka memperolehi kehidupan yang sepatutnya,” lontarnya mengharap.

Terdahulu, beliau turut berkongsi cabaran mengamalkan Islam di negara itu di mana Kerajaan Burma telah bertindak mengubah sistem pendidikan Rohingya yang dilihat sebagai mengancam keselamatan. Umat Islam juga disekat dari menambah ahli keluarga dengan disukarkan proses perkahwinan dan seumpamanya, selain dilarang muslimah untuk berpakaian menutup aurat dan meruntuhkan masjid.

Begitu juga katanya, berleluasanya ancaman keselamatan dan penyembelihan atas dendam politik walaupun setelah pemerintahan kerajaan tentera bertukar kepada demokratik selepas pilihan raya 2010 di negara itu. Sementara itu delegasi Filipina pula berkongsi pengalaman berhubung perjuangan Bangsa Moro yang telah banyak kali mengadakan perbincangan dan perjanjian dengan Kerajaan Filipina termasuk dimediasikan oleh kerajaan dari negara lain antaranya Malaysia dan Jepun.

Tetapi katanya, pihak Kerajaan Filipina seolah-olah memilih untuk menjalin hubungan secara tegang dengan pihak mereka, di mana apabila berlaku serangan atau pertempuran, sering orang Islam menjadi korban pembunuhan hingga ada yang lari ke Sabah menyelamatkan diri. Sebab itulah ujarnya, sejak mereka dipimpin oleh Nur Misuari, Bangsa Moro telah menggerakkan pasukan ketenteraannya sendiri demi mempertahankan hak dan kedaulatan mereka.

“Kami dengan perjuangan Bangsa Moro akan terus berusaha untuk memastikan hingga wujud keamanan dan terpelihara kawasan wilayah kami yang diduduki orang Islam,” ujarnya menyatakan tekad.

Persidangan

20-22 March 2015
Kuala Ibai, Terengganu Malaysia.

Rangkaian

/ijtimak.antarabangsa

/IjtimaUmmahIUMS

/ijtima_alami3.0

terengganukini

Hubungi

Untuk maklumat lanjut mengenai program boleh hubungi kami di:
 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
  +60199511860
 www.wuoms.org