Rawatan Kesihatan Percuma Sempena Ijtima'

Bagi memastikan keselesaan dan kebajikan semua tetamu serta pengunjung Ijtima yang akan berkampung di Rusila dari 19 – 21 Mac ini, Unit Kebajikan dan Kecemasan Ijtima telah menyusun beberapa persiapan terbaik dalam rangka merealisasikan imej PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berkebajikan.

Yang pertama, untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan perubatan yang tidak diingini, 3 buah stesen kecemasan yang berperanan sebagai wad kecemasan diwujudkan. Satu stesen untuk perkhidmatan kepada tetamu dan delegasi Ijtima disediakan di Hotel Prinz Park yang turut menjadi lokasi penginapan pemimpin-pemimpin gerakan Islam dari seluruh dunia. Sementara dua stesen kecemasan lagi akan disediakan dalam bentuk khemah tertutup berhawa dingin di hadapan Pejabat PAS Kawasan Marang di Rusila.

Tenaga perubatan terdiri dari doktor pakar, pegawai perubatan, pembantu perubatan dan paramedik akan berkhidmat secara shift 24 jam sehari. Kita juga menyediakan khidmat 3 buah ambulan untuk membawa pesakit yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital.

Yang kedua, khidmat pemeriksaan dan rawatan kesihatan percuma akan disediakan kepada pengunjung Ijtima pada hari Sabtu 21 Mac 2015 bermula dari jam 9 pagi – 1 tengah hari di ruang legar Masjid Rusila. Semua pengunjung dijemput untuk mendapatkan khidmat yang disediakan untuk semua muslimin dan muslimat.

Yang ketiga, bagi yang berminat dengan rawatan Darus Syifa, kami juga menyediakan tenaga-tenaga perawat perubatan Islam ini yang akan berkhidmat pada hari Sabtu, 21 Mac 2015 dari jam 9 pagi – 1 tengah hari.

Yang keempat, disamping kita mendapatkan manfaat yang semaksimun mungkin dari pengisian program Ijtima ini, kami juga membuka ruang untuk kita bersama berbakti membantu mereka yang memerlukan. Bukan dengan menghulurkan wang ringgit, tetapi dengan menyumbangkan sedikit darah kita dalam program derma darah sempena Ijtima. Hospital Sultanah Nur Zahirah akan bersama pengunjung Ijtima untuk mengendalikan programa derma darah pada hari Jumaat, 20 Mac 2015 bermula jam 2 petang – 6 petang dan pada hari Sabtu 21 Mac 2015 bermula dari jam 9 pagi – 1 tengah hari. Semua pengunjung adalah dialu-alukan untuk turut sama berbakti dengan menyumbangkan darah anda.

Yang kelima, kami juga tak akan membiarkan pengunjung yang hadir dalam keadaan dahaga. Khidmat air sabil percuma akan berada di tapak Ijtima 3 hari berturut-turut dari 19 – 21 Mac 2015 bermula dari jam 11 pagi – 3 petang. Minuman boleh dinikmati secara percuma di khemah air sabil yang disediakan.

Akhirnya, yang keenam, bagi para ibu bapa yang membawa anak-anak menghadiri Ijtima, jangan bimbang dan jangan risau ianya akan menganggu penumpuan tuan puan. Di bawah pengurusan Unit Kebajikan Muslimat, khidmat nurseri disediakan untuk penjagaan anak-anak yang turut akan diisi dengan pelbagai program menarik bagi mengisi masa anak-anak kita.

Selamat berijtima.
Dr Azman Ibrahim
Ketua Unit Kebajikan dan Kecemasan
Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke 3.

Persidangan

20-22 March 2015
Kuala Ibai, Terengganu Malaysia.

Rangkaian

/ijtimak.antarabangsa

/IjtimaUmmahIUMS

/ijtima_alami3.0

terengganukini

Hubungi

Untuk maklumat lanjut mengenai program boleh hubungi kami di:
 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
  +60199511860
 www.wuoms.org