Wa Qudsa Seruan Penyatuan Ummah-Tuan Guru Hj Hadi Awang

MARANG, 20 MAC- Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah yang dirasmikan oleh Naib Pengerusi Kesatuan Ulama' Sedunia, Tuan Guru YB Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Hj. Awang pada pagi tadi mengalu-alukan kedatangan seluruh delegasi gerakan Islam dari seluruh dunia ke Malaysia.

Wa Qudsa yang menjadi tema Ijtima' kali yang ketiga ini membawa simbol penyatuan umat Islam atas satu lambang. Demikian juga ayat pembukaan ucapan beliau yang menyentuh tentang kesatuan umat Islam dengan membacakan ayat 103 surah Ali-'Imran.

“Antara perkara yang menjadi asas kepada penyatuan umat Islam adalah seruan Allah yang menyuruh manusia agar menjadi umat yang menyampaikan dakwah Islam, menyeru kepada perkara kebaikan dan mencegah segala kemungkaran. Begitu juga umat manusia diseru untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan fizikal”.

“Malangnya dalam dunia umat Islam sendiri menyaksikan wujudnya perpecahan yang disebabkan oleh dua perkara. Pertama, perpecahan yang disebabkan oleh kegagalan umat Islam memahami tuntutan agama Islam secara keseluruhan sehingga wujudnya golongan yang mengambil mudah ajaran Islam. Kedua, wujudnya golongan yang melampau dalam menegakkan Islam sehingga memberi gambaran yang salah kepada masyarakat dunia tentang Islam” kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Justeru peranan umat Islam untuk membawa mesej kesatuan dan memadamkan fitnah islamophobia ini antaranya adalah dengan menghindari permusuhan dengan golongan lain yang tidak sehaluan. Beliau juga menyeru agar umat Islam berlaku adil dalam segenap perkara, tidak menzalimi rakyat, seterusnya memelihara akhlak Islam, dan melaksanakan syariat Islam sekiranya berkuasa mentadbir sesebuah kerajaan, mencontohi persaudaraan Muhajirin dan Ansar dan mengajarkan orang bukan Islam memahami pemerintahan Islam dan syariat Islam. Beliau juga turut menekankan agar sentiasa mengambil inisiatif untuk berdamai sekiranya musuh-musuh Islam lebih cenderung untuk berdamai kerana Islam itu sendiri menganjurkan perdamaian.

Hakikatnya, walaupun umat Islam di seluruh dunia ditindas dan ditekan, namun perkembangan gerakan Islam di seluruh dunia adalah semakin memberansangkan. Beliau menegaskan bahawa punca utama umat Islam tidak akan lenyap dan dihapuskan kekuatannya adalah melalui Al-Quran dan kota Makkah sebagai kota suci yang menyatukan umat Islam.

“Agenda membebaskan Baitul Maqdis perlu menjadi agenda bersama umat Islam. Setiap kelompok dalam Islam tentunya mencintai tanah Baitul Maqdis. Perjuangan gerakan Islam yang cuba menegakkan Islam tidak boleh dinafikan kemenangannya. Namun hakikatnya halangan kepada kejayaan Ikhwanul Muslimin di Mesir dinafikan, kemenangan gerakan An-Nahdhah di Tunisia diganggu, bahkan kemenangan PAS di Kelantan dan Terengganu pun tidak terlepas dari gangguan. Puncanya adalah kerana meresapnya ideologi-ideologi Barat yang merosakkan pemikiran umat Islam” ujar timbalan presiden ulama sedunia.

Oleh itu umat Islam perlu mengukuhkan kefahaman agama dengan mendalami ajaran Islam. Umat Islam perlu menghasilkan idea yang vernas dan hebat, seterusnya membina tamadun yang hebat dan cemerlang dalam segenap bidang.

“Saya menyeru agar umat Islam terus memperjuangkan Islam dan saling bekerjasama membangunkan risalah Islam. Golongan ulama' dan profesional perlu melaksanakan tugas masing-masing dalam menegakkan Islam dengan penuh kesabaran serta ketaqwaan, dan yakin dengan janji-janji Allah” katanya.

 

Persidangan

20-22 March 2015
Kuala Ibai, Terengganu Malaysia.

Rangkaian

/ijtimak.antarabangsa

/IjtimaUmmahIUMS

/ijtima_alami3.0

terengganukini

Hubungi

Untuk maklumat lanjut mengenai program boleh hubungi kami di:
 Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
  +60199511860
 www.wuoms.org